Sinopsis Drama Janji Jaslina » BUKAN CINCAI

Sinopsis Drama Janji Jaslina


Sinopsis: 

Janji Jaslina mengisahkan pasangan suami isteri, Jaslina dan Johan yang dianugerahkan 2 orang anak, Nina dan Iman. Jaslina berkahwin dengan Johan pada usia yang muda. Apabila Nina disahkan mengidap penyakit asma pada umur 10 tahun, Jaslina telah berhenti kerja bagi menjaga anaknya tetapi dimarahi oleh Johan. Tanpa diketahui oleh Jaslina, Johan masih menjalinkan hubungan dengan bekas kekasihnya, Rahayu.

Rahayu sering bertandang ke rumah Johan. Jaslina tidak menyimpan prasangka buruk terhadap Rahayu. Tambahan pula, Rahayu pandai berlakon dan berpura-pura rapat dengan Nina. Suatu hari, Rahayu dengan sengaja tidak memberikan inhaler kepada Nina yang diserang asma. Tindakannya telah menyebabkan Nina gagal mendapat rawatan segera dan meninggal dunia.

Kematian Nina telah mengakibatkan Jaslina menghadapi tekanan emosi. Tambahan pula, Johan telah berkahwin dengan Rahayu dan tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan adil. Jaslina dibiarkan terkapai-kapai mencari kehidupan sendiri. Penderitaan Jaslina bertimpa-timpa apabila anaknya Iman disahkan mengidap penyakit leukemia. Wang yang diberikan oleh Johan tidak diserahkan oleh Rahayu kepada Jaslina telah menyebabkan Jaslina hidup dalam kesempitan. Johan tidak sedar akan niat sebenar Rahayu berkahwin dengannya.

Ketika menjalankan tugasnya di Sabah, Johan telah diculik dan Jaslina terus hilang punca sumber kewangan. Jaslina terpaksa keluar dari rumah setelah rumahnya dilelong oleh pihak bank. Jaslina terpaksa menumpang di rumah Pak Ayob dan Mak Kiah. Namun, Pak Ayob mengambil kesempatan atas wang yang didermakan oleh orang ramai untuk kos perubatan Iman. Malah, Pak Ayob juga cuba menggoda Jaslina dan ingin mengahwininya.

Akhirnya, Jaslina meninggalkan rumah Pak Ayob dan bertemu dengan Dr. Arif. Apakah bantuan yang diberikan oleh Dr. Arif ikhlas untuk membantu Jaslina? Kepulangan Johan secara tiba-tiba telah menimbulkan pelbagai persoalan sementara Rahayu juga menjalin hubungan dengan bekas kekasihnya, Fiq. Apakah yang Johan bakal lakukan selepas rahsia Rahayu terbongkar? Siapakah jodoh sebenar Jaslina?
Sinopsis Drama Janji Jaslina Sinopsis Drama Janji Jaslina Reviewed by Layan JerDotNet on 08:05 Rating: 5
Facebook Icon Comments
Powered by Blogger.