Sinopsis Drama Cerita Cinta Kita » BUKAN CINCAI

Sinopsis Drama Cerita Cinta Kita

Sinopsis Drama Cerita Cinta Kita

Sinopsis:

Drama bersiri yang berlatar-belakangkan tahun 80-an ini menyingkap sebuah cinta agung antara Adam (Aeril Zafrel) dan Salmah (Wawa Zainal). Semarak cinta mereka bermula ketika Adam berumur 24 tahun manakala Salmah berusia 19 tahun sehingga ke usia tua walaupun mereka berdua terpaksa mengharungi pelbagai dugaan untuk bersatu.

Keluarga Salmah membantah hubungan cinta mereka kerana perbezaan darjat. Ketika itu, Salmah sedang menuntut di sebuah Maktab Perguruan. Dalam usaha untuk memisahkan Adam dan Salmah, keluarga Salmah telah membawa Salmah pulang dari Teluk Intan, Perak ke Kuala Lumpur. Adam dan Salmah telah menulis surat untuk terus berhubung tetapi sayangnya surat-surat tersebut telah ditahan dan disimpan oleh ibu Salmah, Melati.

Lima tahun berlalu tanpa khabar berita tetapi Adam tetap merindui dan mencintai Salmah. Salmah pula menganggap Adam telah melupakannya. Dia yang kini bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital telah dijodohkan dengan Dr. Khairudin (Dazrin Kamarudin). Ibu Salmah, Melati gembira dan lega selepas Salmah berkahwin dengan Dr. Khairuddin kerana ia bukan sahaja memberi jaminan masa depan kepada Salmah tetapi juga membantu menyelesaikan kemelut kewangan keluarga mereka selepas ayah Salmah meninggal dunia.

Adam telah bekerja keras demi membeli rumah pusaka yang diidami oleh Salmah. Selepas itu, Adam berusaha mencari Salmah di Kuala Lumpur namun dia sungguh kecewa apabila mengetahui hakikat bahawa Salmah telah berkahwin. Salmah pula menjumpai surat-surat Adam yang disimpan oleh ibunya dan akhirnya faham kenapa dia tidak menerima khabar berita daripada Adam selama ini.

Adam membuat keputusan untuk menjual rumah pusaka tersebut. Dia tidak menyangka bakal pembeli rumah itu ialah Dr. Khairudin dan Salmah. Salmah telah memberitahu Adam apa yang telah dilakukan oleh ibunya terhadap mereka. Pertemuan Adam dan Salmah semula telah memberikan harapan kepada Adam. Mereka kembali berhubung tetapi menjaga batas pergaulan.

Dr Khairudin yang marah dengan hubungan Adam dan Salmah telah bergaduh dengan Salmah dalam perjalanan mereka pulang ke Kuala Lumpur. Kereta mereka terbabas. Dr Khairudin terbunuh manakala Salmah pula koma. Kematian Dr Khairudin juga membongkar rahsia bahawa dia telah berkahwin dengan Rokiah dan mempunyai 2 anak.

Salmah kini hilang tempat untuk bergantung. Demi cinta, Adam telah memindahkan Salmah yang mengalami amnesia ke pusat jagaan malah Adam juga terpaksa berulang alik dari Teluk Intan ke Kuala Lumpur untuk menjaga Salmah. Adam mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Salmah pada usia hampir lewat 30an.

Namun kebahagiaan yang dinikmati oleh Adam dan Salmah tidak berpanjangan kerana ingatan Salmah semakin merosot. Adam terpaksa mengulang setiap kisah yang mereka pernah lalui bersama setiap hari kepada Salmah. Mungkinkah satu hari nanti, Salmah akan lupa siapakah Adam dalam hidupnya?
Sinopsis Drama Cerita Cinta Kita Sinopsis Drama Cerita Cinta Kita Reviewed by Layan JerDotNet on 23:49 Rating: 5
Facebook Icon Comments
Powered by Blogger.