Sinopsis Bila Chacha Masuk Asrama » BUKAN CINCAI

Sinopsis Bila Chacha Masuk Asrama

Sinopsis Bila Chacha Masuk Asrama

Bila Chacha Masuk Asrama mengisahkan seorang gadis bandar yang biasa hidup dalam kemewahan dan mempunyai perwatakan yang manja terpaksa tinggal di kampung atas tuntutan kerja bapanya yang akan berpindah ke Dubai. Bapanya mengarahkan Chacha (Nur Alis Mariya) untuk tinggal di kampung bersama neneknya dan menyambung persekolahannya di sana kerana tiada siapa yang akan menjaganya di rumah.

Walau bagaimanapun Chacha menolak cadangan bapanya untuk tinggal di kampung sebaliknya meminta bapanya untuk menghantar dia ke sekolah asrama. Chacha yang tidak sanggup membayangkan hidupnya di kampung memilih untuk ke asrama. Pada hari dia dihantar ke asrama oleh bapanya dia teruja melihat bangunan asrama yang cantik.

Tiba-tiba muncul beberapa orang ‘senior’ antaranya Nisha (Hazirah Qasdina Hazali) dan Mia (Nor Balqis Ahmad Tajudin) menunjukkan papan tanda ‘Asrama Pelajar Baru’ iaitu bangunan yang terletak di sebelah. Chacha yang terkejut melihat bangunan asrama itu kelihatan lama dan buruk tidak seperti apa yang dia bayangkan.

Tambah teruk lagi apabila dia ditempatkan di dom berserta dengan pelajar lain. Chacha yang tidak pandai berdikari sedar bahawa dia terpaksa menguruskan dirinya sendiri tanpa bantuan pembantu rumah.

Nisha seorang senior yang berperwatakan gedik sering cemburu dan iri hati terhadap Chacha. Apabila melihat barang-barang mewah yang dimiliki oleh Chacha serta kelebihan dan bakat yang Chacha ada, membuatkan Nisha tercabar. Pelbagai kejadian yang berlaku apabila Nisha kerap kali ingin mengenakan Chacha tetapi rancangannya sering kali gagal.

Dalam satu kejadian apabila pelajar diwajibkan pergi ke kuliah subuh Nisha yang cuba mengajak Chacha untuk ponteng tidak menjadi kerana Chacha tidak pernah tinggal solat subuh. Nisha yang geram dengan Chacha cuba mengenakan Chacha dengan memberitahu ustazah yang Chacha pandai mengaji dengan niat untuk memalukan Chacha.

Namun Nisha salah kerana Chacha sebenarnya memang pandai mengaji dan Shaq (Adly Imran Rajiani) yang kebetulan dengar berasa kagum dengan Chacha. Nisha yang membuat pelbagai cara untuk Shaq membenci Chacha tidak berjaya apabila Shaq menyukai Chacha dan menyifatkan Chacha seorang yang comel.

Keadaan bertambah rumit apabila Chacha bergaduh dengan Nisha dan Chacha dipulaukan. Chacha yang tidak tahan dengan keadaan di asrama menelefon dan merayu kepada bapanya untuk membawa dia ke Dubai. Selepas bapanya sudah membuat segala persiapan untuk membawa Chacha bersamanya Chacha berbelah bagi sama ada ingin mengikuti bapanya atau tidak. Adakah Chacha akan bertukar fikiran dan meneruskan persekolahannya di asrama bersama kawan-kawan baharunya?

Drama bersiri 14 episod terbitan Zeel Production ini mula disiarkan pada 5 November lalu, setiap hari Rabu dan Khamis jam 6.30 petang dengan barisan pelakon muda seperti Nur Alis Mariya, Hazirah Qasdina Hazali, Bella Dowanna Halim, Nor Balqis Ahmad Tajudin, Adly Imran Rajiani, Joshry Adamme Rizq dan Daniel El-Arash.
Sinopsis Bila Chacha Masuk Asrama Sinopsis Bila Chacha Masuk Asrama Reviewed by Layan JerDotNet on 20:10 Rating: 5
Facebook Icon Comments
Powered by Blogger.