Sinopsis Puteri Bukan Nama Sebenar » BUKAN CINCAI

Sinopsis Puteri Bukan Nama Sebenar

Sinopsis Puteri Bukan Nama Sebenar

Laila, seorang ibu tunggal dengan anaknya, Adam yang baru berusia tiga bulan terpaksa meninggalkan rumah kerana terancam dengan sikap bekas suami yang kuat berjudi dan sering berhutang. Laila telah berkenalan dengan Puteri (Effi Abdul Rahim) yang seiras dengannya.

Puteri yang sedang sarat mengandung mahu bertemu dengan keluarga suaminya di Kuala Lumpur. Puteri berkahwin dengan Mikail (Hafeez Mikail) secara rahsia kerana keluarga Mikail sudah ada calon pilihan mereka iaitu Alisha (Faralyna Idris), anak hartawan yang bijak tetapi pendengki.

Mikail yang bertugas sebagai wartawan dan juga jurufoto untuk agensi berita telah dihantar ke Gaza semasa usia kandungan Puteri 7 bulan. Sebelum bertolak ke Gaza, Mikail berpesan kepada Puteri agar mencari keluarganya di Kuala Lumpur jika apa-apa berlaku kepadanya. Suatu hari, Puteri menerima berita buruk dari agensi berita yang Mikail telah terkorban dalam satu letupan di Gaza. Jadi, Puteri telah bertolak ke Kuala Lumpur untuk mencari keluarga Mikail.

Malangnya, bas ekspres yang dinaiki Laila dan Puteri terlibat dalam kemalangan. Puteri dan kandungannya terkorban. Laila telah membuka beg tangan Puteri untuk mencari maklumat keluarga mertua Puteri tetapi cuma ada alamat rumah. Laila membawa Adam untuk mencari keluarga mertua Puteri di Kuala Lumpur.

Laila dianggap sebagai Puteri selepas ibu Mikail, Puan Zarina (Aida Khalida) melihat cincin dan rantai yang dibawa oleh Laila. Laila cuba berterus-terang tetapi dia tidak sampai hati untuk mengecewakan hati Zarina yang kehilangan 3 orang dalam keluarganya apabila melihat kegembiraan Zarina. Laila membuat keputusan untuk terus jadi ‘Puteri’ dan akan mencari masa yang sesuai untuk menceritakan hal sebenar.

Mirza (Syarul Ridzwan), abang kepada Mikail, ialah seorang yang kacak tetapi ego. Mirza menganggap ‘Puteri’ sebagai pisau cukur dan tidak menyukai ‘Puteri’. Malahan, Mirza juga mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan ‘Puteri’ yang berasal dari Johor tetapi bercakap dalam loghat Pahang.

Lama-kelamaan, Mirza dan “Puteri’ mula serasi dan menjadi rapat. Sebelum Mirza mengungkap cintanya kepada Puteri, mereka sekeluarga dikejutkan dengan berita bahawa Mikail masih hidup dan akan pulang ke tanah air. ‘Puteri’ menjadi serba salah kerana dia bukan Puteri yang sebenar. Malah, ‘Puteri’ juga telah jatuh cinta dengan Mirza. Apabila rahsia ‘Puteri’ terbongkar, masihkah ada cinta dan kebahagiaan untuk dia?

Sumber: UmiKasum
Sinopsis Puteri Bukan Nama Sebenar Sinopsis Puteri Bukan Nama Sebenar Reviewed by Layan JerDotNet on 11:30 Rating: 5
Facebook Icon Comments
Powered by Blogger.